Monday, December 28, 2009

Update Palestin

Serangan Israel di Gaza genap setahun (link)

GAZA CITY 27 Dis. - Hari ini genap setahun serangan besar-besaran tentera Israel ke atas Genting Gaza, yang ditadbir Hamas, dengan runtuhan bangunan kesan daripada serangan tersebut masih jelas kelihatan.

Bunyi siren memecah keheningan pada pukul 11.20 pagi (pukul 5.20 petang waktu Malaysia) semasa bom pertama dalam 'Operasi Cast Lead' Israel dilancarkan setahun lalu atas dakwaan untuk menghentikan serangan-serangan roket yang dilancarkan oleh pejuang Palestin dari Gaza.

Beberapa demonstrasi diadakan hari ini dan Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh akan berucap di kaca televisyen pada sebelah petang dan Hamas merancang menganjurkan aktiviti selama 22 hari, bersamaan dengan tempoh serangan tersebut setahun lalu.

"Tujuan acara diadakan supaya perang ini dan pembunuhan yang dilakukan oleh Israel kekal mendapat perhatian dunia.

"Ia dianjurkan supaya pemimpin Zionis sedar mereka akan diadili," kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Hamas, Ihab al-Ghussein.

Pada hari Sabtu, 27 Disember 2008, jet-jet pejuang Israel melancarkan serangan serentak ke atas beberapa bangunan Hamas di wilayah Gaza yang dihuni 1.5 juta penduduk Palestin, menyebabkan sekurang-kurangnya 225 orang terbunuh, serangan yang paling banyak menumpahkan darah dalam masa sehari sepanjang konflik Israel-Palestin.

Perang tamat 22 hari kemudian selepas gencatan senjata kedua-dua belah pihak, dengan 1,400 penduduk Palestin, termasuk lebih 400 kanak-kanak, dan 13 orang Yahudi terbunuh, selain kawasan Gaza menjadi padang jarak padang tekukur.

Di BAITULMAQDIS, Human Rights Watch (HRW) semalam menuduh Israel dan Hamas gagal mengambil tindakan ke atas anggota masing-masing yang terlibat dalam kekejaman di Gaza setahun lalu.

Kumpulan hak asasi yang beribu pejabat di New York itu juga mengkritik sekatan Israel 'menyebabkan berlakunya krisis kemanusiaan besar dan menghalang pembinaan semula kediaman dan sekolah' di Gaza, kawasan Palestin yang ditadbir Hamas itu.

"Kedua-dua, Israel dan Hamas gagal menghukum mereka yang melanggar undang-undang semasa pertempuran itu berlaku.

"Beberapa serangan roket masih berlaku dan sekatan Israel ke atas Gaza menghalang pembangunan semula wilayah Palestin itu. Apa yang semakin bertambah di Gaza adalah kekecewaan dan kehampaan," kata penyelidik kanan HRW, Fred Abrahams dalam satu kenyataan pada ulang tahun pertama perang Gaza. - AFP


sehubungan dengan itu, satu demonstrasi telah diadakan di hadapan kedutaan Mesir di KL..


1 comment:

KARISMA UKM said...

Salam...alhamdulillah. Usaha yang berterusan daripada k-intel ukm untuk terus mengupdate isu terbaru yang berlaku di Palestine. Teruskan usaha..walaupun tak sempat ke demo di kl tadi kerana kebanyakannya ada kelas, jangan lupa panjatkan doa untuk saudara seakidah kita disana..