Friday, May 22, 2009

DAKWAH KITA… “DAKWAH KASIH SAYANG”

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Khas buat para pencinta Islam yang mengikat janji untuk bersama-sama menjadi penyambung rantaian dakwah Rasulullah s.a.w…

Tahniah pada sekalian pejuang Islam yang bersungguh-sungguh menginfakkan harta, jiwa, masa dan segala yang antum ada untuk jalan dakwah ini. Dengan pengorbanan yang ikhlas dari hati, semoga kita terpilih untuk menikmati syurga Allah yang kekal abadi dan dapat bertemu denganNya kelak..Satu kemenangan yang paling besar untuk umat manusia..

Sesungguhnya jalan ni memang sukar, memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit, masa yang diluangkan bukan sejam dua.., tenaga yang diberi bukan setakat melepaskan batuk di tangga. Berusaha bukan sedaya upaya, tapi sehabis daya. Inilah rutin harian seorang yang bergelar da’ie. Namun, dalam kesibukan kita merancang, bekerja dan melaksanakan amanah kita dalam jalan dakwah ni, kadang-kadang kita terlupa pada satu perkara yang penting, iaitu keperluan berkasih sayang dalam memenuhi hak kita sebagai seorang sahabat, anak, adik-beradik dan sesama manusia.

Tak dinafikan, kebanyakan golongan muda mempunyai sifat hamasah yang tinggi, rela bekerja dan melakukan apa sahaja selagi termampu. Sifat begini memang diperlukan dalam gerak kerja kita, terutama dikalangan belia. Cuma perlu ditekankan disini, jangan sesekali lupa, jalan dakwah ini memerlukan bekalan untuk menggerakkan jundi-jundi yang berada dalam system tarbiyyahnya agar tidak berlaku masalah keciciran yang sangat dahsyat pada masa mendatang. Dan antara bekalan yang penting dan selalu kita terlepas pandang adalah bekalan “ukhuwwah” dan “kasih sayang”.

Sahabat sekalian,

Sungguh!!! Bekalan ukhuwwah dan sifat kasih sayang memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan keberjayaan tarbiyyah kita dan usaha kita membina rijal-rijal. Pembinaan rijal perlu dimulai dengan perasaan kita mentarbiyyahnya kerana kita kasihkan padanya.

Kita kasih pada mad’u kita, agar beliau tidak tercicir daripada jalan yang kita yakini ni…

Kita kasihkan padanya dan rela berkongsi apa sahaja yang kita ada dengannya…

Kita kasih padanya dan rasa nak dia bersama dengan kita…

Dengan kasih sayang yang ditunjukkan dan diberi dan dengan izin Allah, mad’u yang bakal dibina akan rasa dekat dengan kita dan mudah untuk menerima dakwah kita.

Perasaan kasih sayang juga perlu disemaikan dalam gerak kerja harian kita. Apabila timbul sesuatu konflik, selesaikan dengan cara yang adil supaya tidak menzalimi sahabat yang lain kerana kita kasih padanya. Amalkan konsep syura, kerana kita perlukan pandangan daripada semua sahabat kita kerana kepercayaan yang terbina. Menjaga kebajikan ahli sebaik mungkin kerana kita kasih padanya. Memberi amanah dan tugas bersesuaian dengan kemampuannya supaya tidak menzalimi sahabat kita kerana kita kasih padanya.

Semuanya indah, jika kita dahulukan perbuatan kita dengan meletakkan “hati” dihadapan. Kerana hatilah kunci utama untuk menyemai sifat kasih sayang dalam kehidupan harian kita. Hati yang diikat dengan akidah yang benar, dikemaskan lagi dengan fikrah yang jelas akhirnya akan disatukan dengan ukhuwwah yang sangat hebat…Ukhuwwah yang menjadi bekalan kita sepanjang jalan dakwah yang penuh liku demi mendapat redha Allah, insyaAllah.

Jom!!!

Sama-sama kita zahirkan dan semarakkan sifat kasih sayang kita pada ibu bapa, anak usrah, naqibah, rakan seperjuangan dan seluruh manusi..Semoga dengan kasih sayang yang disemai, kita sama-sama doakan dunia ini akan dipenuhi dengan warna-warna kehidupan yang sentiasa dinaungi dengan rahmat dan kasih sayang Allah.

Ya Allah, Kau limpahkanlah rahmat kasih sayangMu kepada kami, dan jadikanlah kami termasuk orang-orang yang saling menyayangi keranaMu.

Sesungguhnya ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

No comments: